top of page
Search

UniSZA Got Talent: Anugerah Bakat Insani Platform Mahasiswa Asah Kepimpinan dan Pengurusan Acara

Nov 17
2 min read

KUALA NERUS, 9 Oktober 2026 – Program UniSZA Got Talent: Anugerah Bakat Insani yang berlangsung dari jam 9.00 malam hingga 11.15 malam di Tapak Ekspo Konvokesyen UniSZA berjaya menghimpunkan bakat mahasiswa dan kakitangan universiti menerusi persembahan kreatif secara solo dan berkumpulan.



Program yang dianjurkan sempena Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kali Ke-18 itu bukan sahaja menjadi pentas mengetengahkan bakat seni warga universiti, malah berperanan sebagai medan pembangunan mahasiswa dalam merancang, mengurus dan melaksanakan acara berskala besar.


Turut hadir untuk menyokong usaha dan keterlibatan mahasiswa adalah Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Pendaftar, Bendahari dan Pengarah Pusat Komunikasi Korporat dan Pengurusan Perhubungan UniSZA.



Keunikan program ini terserlah menerusi penglibatan mahasiswa Performing Arts Leadership (PEARL) bersama Pesona FM dan Sahabat Patuh Syariah yang menjadi penggerak utama pelaksanaan program, merangkumi aspek perancangan, penyelarasan, pengurusan persembahan dan perjalanan acara.


Sebanyak sembilan penyertaan mahasiswa dan empat penyertaan kakitangan telah mengambil bahagian dalam pertandingan berkenaan. Penyertaan daripada kedua-dua kelompok warga universiti ini turut memperlihatkan kepelbagaian bakat serta membuka ruang interaksi dan kerjasama dalam suasana yang penuh kreativiti.


Bagi keputusan pertandingan, Izzat Airiel bin Shaharil dinobatkan sebagai juara, manakala Wan Shuaib bin Wan Suruji meraih gelaran naib johan. Selain itu, tiga peserta turut menerima hadiah saguhati atas persembahan yang ditampilkan.



Lebih daripada sebuah pertandingan bakat, UniSZA Got Talent: Anugerah Bakat Insani memberi penekanan terhadap pembelajaran melalui pengalaman sebenar (experiential learning), khususnya dalam membentuk mahasiswa yang berkemahiran, berdisiplin dan berupaya memikul tanggungjawab dalam pengurusan acara.


Penglibatan mahasiswa PEARL dan Pesona FM sebagai tenaga perancang serta pelaksana membolehkan mereka mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari dalam situasi sebenar. Pengalaman ini merangkumi kerja berpasukan, komunikasi, pengurusan masa, penyelesaian masalah dan penyelarasan pelbagai keperluan produksi bagi memastikan kelancaran program.

Pendekatan ini selaras dengan usaha universiti memperkasa pembangunan bakat insani mahasiswa secara holistik, bukan sahaja dari aspek akademik, malah melalui pembentukan kepimpinan, kreativiti, keyakinan diri dan kemahiran insaniah yang diperlukan dalam alam pekerjaan.


Penganjuran program seumpama ini membuktikan bahawa mahasiswa bukan sekadar peserta atau pengisi acara, sebaliknya mampu menjadi tenaga penggerak yang merancang dan menjayakan program universiti. Pengalaman tersebut menjadi nilai tambah penting dalam mempersiapkan mereka sebagai graduan yang berdaya saing, berkebolehan dan bersedia menghadapi cabaran dunia profesional.


Future Caliph, Demi UniSZA!


 
 
 

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating

Laman web ini diselia oleh:

​

Pusat Kesenian dan Warisan

Universiti Sultan Zainal Abidin, Kampus Gong Badak

21300 Kuala Nerus, Terengganu Darul Iman.

Email : pkw@unisza.edu.my

​

  • Facebook
  • Instagram

LOKASI PKW

bottom of page