MAHASISWA PEARL UniSZA BAWA SUARA PESONA FM KE KONTI TERENGGANUfm

KUALA TERENGGANU, 15 November 2026 – Mahasiswa Performing Arts Leadership (PEARL) iaitu, saudara Muhammad Nur A’sif bin Md Noor (CEO Apprentice - Pesona FM) daripada Fakulti Bahasa & Komunikasi (FBK) telah menghadiri jemputan sebagai personaliti undangan dalam Rancangan Silang Budaya Terengganufm 2026 terbitan Jabatan Penyiaran Negeri Terengganu (RTM).
Siaran yang berlangsung secara langsung dari Konti Terengganufm, Bukit Pak Apil, Kuala Terengganu itu membawa tema Radio Komuniti: Suara Tempatan, Impak Nasional.

Sepanjang sesi berlangsung, saudara Muhammad Nur A’sif bin Md Noor berpeluang berkongsi pengalaman serta memperkenalkan Pesona FM UniSZA, khususnya berkaitan peranan, pengoperasian dan penglibatan mahasiswa dalam aktiviti penyiaran radio di universiti. Sesi turut diisi dengan pelbagai pertanyaan berkaitan Pesona FM yang membuka ruang perkongsian pengalaman dan pertukaran pandangan dalam bidang penyiaran.
Peluang ini bukan sahaja memberikan pendedahan kepada mahasiswa mengenai suasana penyiaran radio secara langsung, malah menjadi platform untuk memperkenalkan Pesona FM UniSZA kepada khalayak yang lebih luas.
Penglibatan ini diharap dapat menyuntik semangat kepada mahasiswa untuk terus mengembangkan bakat, meningkatkan kemahiran komunikasi serta membawa nama UniSZA melalui platform penyiaran dan media kreatif.
Future Caliph, Demi UniSZA!




Comments