top of page
Search

Mahasiswa jadi penggerak pencungkilan bakat seni, ‘Mahameru Talent Hunt’ buka ruang kreativiti

Nov 17
2 min read

BESUT – Mahasiswa bukan sekadar penerima manfaat daripada aktiviti universiti, malah berupaya menjadi penggerak utama dalam mencorakkan landskap kesenian dan kebudayaan kampus. Semangat ini dizahirkan menerusi penganjuran sesi audisi Mahameru Talent Hunt Besut Chapter oleh Kelab Kesenian De’Mahameru Besut Chapter, salah sebuah kelab di bawah naungan Pusat Kesenian dan Warisan (PKW), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).


Berlangsung di Auditorium Ibnu Khaldun, Kampus Besut, audisi pada 28 Oktober ini menjadi platform pencarian dan pencungkilan bakat baharu dalam kalangan mahasiswa, khususnya dalam bidang muzik dan seni persembahan.



Menariknya, inisiatif ini digerakkan sendiri oleh mahasiswa yang mengambil tanggungjawab merancang serta melaksanakan usaha memperluas penyertaan rakan sebaya dalam aktiviti kesenian. Peranan ini membuktikan bahawa mahasiswa mampu melangkaui fungsi sebagai peserta program, sebaliknya tampil sebagai pencetus idea, penggerak aktiviti dan peneraju pembangunan seni serta budaya di universiti.


Menerusi audisi ini, mahasiswa berpeluang mengetengahkan kebolehan, bakat dan minat masing-masing dalam bidang muzik, sekali gus membuka ruang untuk mengembangkan potensi diri ke peringkat yang lebih tinggi. Platform seumpama ini juga memberi peluang kepada bakat baharu untuk dikenali dan dibimbing sebagai pelapis seni persembahan UniSZA.



Lebih daripada sekadar pencarian bakat, Mahameru Talent Hunt Besut Chapter turut menjadi medan pembentukan keyakinan diri, keberanian beraksi di hadapan khalayak, kemahiran komunikasi dan semangat kerja berpasukan. Pengalaman menguruskan serta menyertai aktiviti kesenian ini secara tidak langsung memperkukuh kemahiran insaniah dan membentuk mahasiswa yang lebih seimbang, kreatif serta berdaya saing.


Penganjuran inisiatif ini turut mencerminkan komitmen PKW UniSZA dalam menyediakan ruang dan peluang kepada mahasiswa untuk menyerlahkan potensi seni, di samping memperkasa pembangunan bakat serta melahirkan generasi pelapis yang mampu mewarnai landskap seni muzik dan persembahan universiti.

Usaha Kelab Kesenian De’Mahameru Besut Chapter ini diharapkan dapat terus menyemarakkan budaya kesenian di Kampus Besut, sekali gus membina ekosistem seni yang lebih aktif, dinamik dan inklusif dengan mahasiswa sebagai tunjang penggeraknya.


Sesungguhnya, mahasiswa holistik bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah berani meneroka kreativiti, memimpin inisiatif dan menyumbang melalui bakat serta kebolehan yang dimiliki.


Mahasiswa Penggerak Seni, Kreativiti Pencetus Inspirasi.


Future Caliph, Demi UniSZA!


 
 
 

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating

Laman web ini diselia oleh:

​

Pusat Kesenian dan Warisan

Universiti Sultan Zainal Abidin, Kampus Gong Badak

21300 Kuala Nerus, Terengganu Darul Iman.

Email : pkw@unisza.edu.my

​

  • Facebook
  • Instagram

LOKASI PKW

bottom of page