4 UA Zon Timur@Kampung Pasir Panjang Laut Kekal Meriah Sehingga Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah

MANJUNG, 26 Oktober 2026 – Seni puisi dan lagu rakyat terus menjadi wadah penting dalam memelihara warisan budaya bangsa apabila Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa 2026 melabuhkan tirainya menerusi Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah yang berlangsung di Dewan Sekolah Kebangsaan Muhammad Saman, Manjung, Perak.
Majlis tersebut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Haji Rashidi bin Ibrahim, Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Pendidikan Tinggi, serta YBhg. Dato’ Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Hafiz bin Yusoff, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang turut menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Kampung 4UA Zon Timur @ Kampung Pasir Panjang Laut. Turut hadir wakil-wakil universiti awam yang terlibat.
Majlis ini bukan sekadar meraikan kejayaan dan pencapaian para peserta, malah menjadi manifestasi komitmen bersama dalam memastikan seni puisi dan lagu rakyat terus dihargai, dipelihara serta diwariskan kepada generasi akan datang.
Penganjuran festival ini turut membuka ruang kepada perkongsian apresiasi seni dan budaya dalam kalangan masyarakat, sekali gus memperlihatkan bahawa warisan tradisional kekal relevan sebagai medium menyampaikan pemikiran, nilai kehidupan dan identiti bangsa merentasi generasi.
Dalam konteks penglibatan universiti awam, inisiatif 4 UA Zon Timur @ Kampung Pasir Panjang Laut memperlihatkan peranan institusi pendidikan tinggi yang bukan sahaja berfungsi sebagai pusat ilmu, malah turut menjadi rakan strategik komuniti dalam menghidupkan warisan budaya dan memperkukuh hubungan antara universiti dengan masyarakat setempat.
Kerjasama seumpama ini penting bagi memastikan seni tradisional tidak sekadar dikenang sebagai peninggalan masa lalu, sebaliknya terus berkembang sebagai khazanah hidup yang mampu menyatukan masyarakat melalui kreativiti, penghayatan budaya dan semangat kebersamaan.
Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang sebagai penghargaan atas bakat, kreativiti dan komitmen yang ditampilkan sepanjang festival berlangsung.
4 UA Zon Timur @ Kampung Pasir Panjang Laut: Bersatu melalui ilmu, berpadu melalui seni, bersama memelihara warisan bangsa.
Future Caliph, Demi UniSZA!




Comments