BUSKING 4 UA ZON TIMUR: SENI MENYATUKAN MAHASISWA DAN KOMUNITI!

PASIR PANJANG LAUT, 25 OKTOBER 2026 – Semangat kesenian, kebersamaan dan keterlibatan mahasiswa bersama komuniti terserlah menerusi Pertandingan Busking 4 Universiti Awam (UA) Zon Timur sempena Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (PULARA) 2026 di Dewan Sekolah Kebangsaan Muhammad Saman, Pasir Panjang Laut.
Pertandingan ini menyaksikan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) merangkul tempat pertama, diikuti Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di tempat kedua dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di tempat ketiga.
Antara persembahan yang mencuri perhatian ialah Naratif Lewaris dari UMK menerusi lagu Roman Cinta, De’Mahameru dari UniSZA dengan lagu Ku Dihalaman Rindu X Tapi Bagaimana serta Penglipur Lara dari UMT yang mempersembahkan medley lagu rakyat Terengganu.
Lebih daripada sekadar pertandingan, program ini memperlihatkan pendekatan pembangunan mahasiswa secara holistik yang menggabungkan bakat seni, kemahiran komunikasi, kreativiti, kerja berpasukan dan kepekaan terhadap masyarakat. Penglibatan komuniti setempat serta persembahan selingan turut mewujudkan ruang interaksi yang merapatkan hubungan mahasiswa dengan penduduk melalui bahasa universal seni dan muzik.
Inisiatif ini membuktikan bahawa universiti bukan sekadar medan menimba ilmu akademik, malah berperanan sebagai pemangkin pembangunan sosial, pemeliharaan warisan dan pengukuhan hubungan antara institusi pengajian tinggi dengan komuniti setempat.
Tahniah kepada semua pasukan yang bertanding! Semoga usaha seperti ini terus menyemarakkan seni budaya, memperkukuh semangat kesukarelawanan dan melahirkan mahasiswa yang seimbang dari segi intelek, emosi, sahsiah serta tanggungjawab sosial.
🤝 4 UNIVERSITI AWAM ZON TIMUR, SATU KOMUNITI, SATU WARISAN!
Future Caliph, Demi UniSZA!




Comments